#BajetJohor2016 – Perbanyakkan Perumahan Mampu Milik Untuk Belia – Hisamuddin

MERSING, 22 Okt – Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan  (Biro HELP) Pemuda UMNO negeri Johor berharap agar #BajetJohor2016 yang akan dibentangkan di Sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 November depan dapat memberi penekanan dalam pembinaan lebih banyak perumahan mampu milik untuk memastikan golongan belia dapat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka.

20151022020123Pengerusinya, Hisamuddin Hussin berkata, harapan ini bukan disandarkan pada #BajetJohor2016 sahaja, malah ia akan menjadi agenda utama dalam pembentangan Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini di Dewan Rakyat oleh YAB Perdana Menteri, bersifat mesra generasi muda.

“Kita juga berharap lebih banyak peluang disediakan bagi generasi muda terutamanya daripada segi pekerjaan dan pinjaman mudah untuk membeli rumah mampu milik atau keperluan lain.

Kita juga mahu mencadangkan dalam mengatasi masalah perumahan di kalangan anak muda ini, kerajaan negerimembangunkan tanah rizab Melayu bagi membina lebih banyak rumah mampu milik, khusus untuk kaum Melayu dan bumiputera.

Langkah ini perlu bagi menangani kesukaran rakyat memiliki rumah sendiri dan situasi semasa menunjukkan anak-anak muda Melayu hanya mampu menyewa daripada membeli rumah,” ujarnya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing.

Tambahnya, ramai generasi muda hari ini tidak berkemampuan membeli dan mendapatkan pembiayaan pembelian rumah, khususnya di bandar-bandar besar seperti di Johor Bahru ini.

“Semua ini gara-gara aktiviti spekulasi dan keghairahan para pemaju yang tamak meletakkan harga rumah yang tinggi dan tidak munasabah untuk anak muda membeli perumahan tersebut,” tambahnya lagi.