#Bajet 2016: Proses Pemulihan Ekonomi Melalui Pertanian & Perladangan – Anis Yusof

JOHOR BAHRU, 22 Okt –  Kerajaan tidak boleh sekadar menumpukan kepada projek mega kerana ini hanya memberi implikasi yang bersifat tertutup.  Sektor pertanian dan penternakan  wajar dipelopori golongan muda terutama apabila kebergantungan negara lebih kepada sektor petroleum dan perindustrian.

AiP0i7m8PybcKPcdIqzi6MI7B7KJuRYVgxSJeLtu1Yd_“Sebagai anak muda dan juga sebagai Ahli Parlimen Belia Negeri Johor, di dalam Bajet 2016 saya memohon agar kerajaan menambah tumpuan kepada pemantapan ekonomi berasaskan sektor pertanian dan penternakan, dengan memberi lebih banyak insentif ke arah pemerkasaan ekonomi dalam dua sektor ini,” ujar Mohamad Anis Md Yusof , Ahli Parlimen Belia Negeri Johor.

Anak muda lepasan kolej kemahiran dan institut pengajian tinggi wajar digalakkan untuk berkecimpungan dalam dua sektor ini dan seterusnya memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan ini.

“Realitinya keadaan ekonomi dunia yang lembap, ditambah pula kejatuhan nilai ringgit Malaysia di pasaran dunia harus dilihat dari pelbagai sudut. Penglibatan anak muda dalam sektor berasaskan pertanian dan penternakan akan menjadi mangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, selain menggurangkan kebergantungan bahan makanan dari luar, seterusnya dapat menurunkan dan menstabilkan harga barang makanan di pasaran.”

Menurut beliau lagi, “melihat kepada senario semasa, kerajaan juga harus mula mengetatkan ruang kemasukan pekerja asing ke negara ini terutama dalam sektor pertanian, perladangan dan perindustrian, serta menggalakan lebih penglibatan anak muda tempatan dalam sektor-sektor berkenaan.”

“Malah kerajaan seharusnya menggesa bank-bank di negara ini melalui Bank Negara Malaysia memberi pinjaman mudah kepada golongan muda untuk berniaga, khususnya dalam sektor berkaitan pertanian dan perladangan. Selain mengetatkan syarat pinjaman berkaitan kenderaan dan kad kredit kepada golongan muda.”

Bajet 2016 seharusnya dilihat lebih mesra kepada proses pemulihan ekonomi melalui sektor berkaitan pertanian dan perladangan.