DAP Johor Perlu Perbaiki Prinsip Sebelum Ajar Parti Lain – Noor Azleen

JOHOR BAHRU, 21 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang hari ini menasihatkan Sheikh Omar Ali yang merupakan pegawai khas kepada Pengerusi DAP Johor agar bermuhasabah diri terlebih dahulu dengan melihat keadaan parti yang diwakili beliau sendiri.

Penolong Setiausaha Pemudanya, Noor Azleen Ambros berkata, Sheikh Omar perlu bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum berhajat untuk menyekolahkan mana-mana parti politik.20151022023341

“Pergolakan kepimpinan DAP Johor masih tidak bertemu jalan penyelesaian. Konflik demi konflik menyaksikan pengkhianatan terhadap Ketua Pembangkang Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Bagaimanakah beliau yang sudah berkhidmat selama 7 tahun boleh dilupakan begitu sahaja? Bahkan Dr Cheng Hau sendiri mengakui beliau dikhianati oleh partinya sendiri.

Selain itu, nasihat saya kepada Sheikh Omar agar menasihatkan kepada bosnya sendiri supaya lebih kerap pulang melihat sendiri perihal kawasan yang diwakili bosnya itu,” ujarnya yang respons kepada penulisan Sheikh Omar Ali yang disiarkan di salah satu portal pro pembangkang semalam.

Tambahnya, Liew Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang sudah boleh berhenti sekadar menjadi “Yang Berhormat Internet” seperti yang dinyatakan oleh rakannya sendiri yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez baru-baru ini.

Benar kata pepatah, satu jari menunjuk ke hadapan maka 4 jari lagi menuding kepada diri sendiri. Jika sekiranya Sheikh Omar ingin menjadi juara rakyat atau ingin menjadi seorang pegawai khas yang baik kepada bosnya, berlaku jujurlah.

“Hentikanlah segala politik sempit yang beliau cuba mainkan. Sesungguhnya UMNO Johor kini begitu komited untuk memperjuangkan nasib rakyat. Jangan dijual hujahan sempit dan dangkal tanpa fakta yang konkrit menyokong hujahnya.

Melalui penulisan Sheikh Omar juga terdapat suatu kekhilafan fakta yang jelas atau mungkin saudara cuba untuk menyembunyikan suatu fakta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan Menteri yang meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) ketika beliau menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

Bahkan bukan sekali namun 2 kali iaitu pada 2009 dan sekali lagi pada 2012. Pindaan tersebut dilakukan kerana sebagai seorang pemimpin, Khaled yakin dan percaya beliau hanya meminjam dunia hari ini daripada anak-anak muda untuk mereka akhirnya warisi,” ujarnya lagi.

Tambahnya, pada 2014 sahaja sebanyak RM21.18 bilion jumlah pelaburan dikutip oleh kerajaan Johor.

Itu belum lagi diimbang kira peratusan perbelanjaan kepada institusi agama di Johor terutama dalam usaha memperkasakan Sekolah Agama Johor di mana kerajaan DAP di negeri Pulau Pinang mengambil isu agama Islam dengan begitu enteng.
Doa saya kepada saudara Sheikh Omar agar beliau tetap dengan prinsipnya atau mungkin beliau seorang figura yang pernah “melompat”daripada PAS ke DAP, sebagai tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas.