#Bajet2016 – Dahulukan Perkara Asas Keperluan Rakyat – Pemuda Johor

JOHOR BAHRU, 22 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor hari ini berharap agar Kerajaan mendahulukan perkara asas rakyat khususnya kepada permasalahan kos sara hidup yang semakin meningkat, rumah mampu milik dan memperkukuhkan kembali ekonomi Negara dalam Pembentangan #Bajet2016 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Rakyat esok.

najib-640x360Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, pembentangan Bajet 2016 ini dinantikan dengan penuh debaran kerana rata – rata rakyat menzahirkan keperihatinan mereka terhadap landskap ekonomi negara yang secara langsung turut memberi impak kepada perbelanjaan harian mereka dan sosio-ekonomi negara.

“Pergerakan Pemuda UMNO Johor berpendapat bahawa perlaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sahaja yang bersifat ‘sekali beri’ tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat kerana perlu ada keseimbangan antara pemberian tunai dan subsidi yang selama ini diamalkan.

Program sosial yang komprehensif dan penyediaan akses kepada kesihatan, pendidikan dan pekerjaan adalah satu alternatif lain yang perlu dipertimbangkan dalam menangani permasalahan ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.

Tambahnya, kerajaan juga boleh mengambil alternatif lain dalam membantu rakyat untuk menangani kos sara hidup yang meningkat dengan mengurangkan cukai – cukai dengan meneliti semula golongan yang paling terkesan.

Kerajaan juga perlu mengambil langkah yang lebih drastik dalam menangani kesukaran memiliki rumah. Permasalahan ini timbul disebabkan oleh harganya yang melambung tinggi dan kesukaran bagi pembeli, khususnya golongan muda dalam mendapatkan kelulusan pinjaman untuk membeli rumah.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan pusat supaya mengkaji semula beberapa peraturan semasa, terutama untuk pemilik rumah kali pertama. Penolakan pinjaman atas kriteria yang ketat untuk membeli rumah juga dikatakan menjadi antara sebab utama jumlah transaksi hartanah menjadi rendah dan kelembapan sektor berkenaan.

20151022074019“Kami mencadangkan supaya kerajaan dalam bajet 2016 menggariskan semula syarat bagi memudahkan pemilikan rumah, menilai semula polisi kuota Bumiputera, meningkatkan bekalan rumah mampu milik, serta pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi rumah mampu milik atau hartanah kawalan.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga ingin menyarankan kerajaan supaya turut memandang serius dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aspek pembangunan usahawan khususnya industri mikro, kecil dan sederhana dalam mengurangkan kebergantungan negara dalam eksport komoditi yang kian tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Dalam masa yang sama, keusahawanan merupakan sektor terpenting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk mikro, memainkan peranan utama dalam mencapai pertumbuhan lebih seimbang dan terangkum.

“Pergerakan Pemuda UMNO Johor, berharap agar kerajaan meneliti dan mengkaji sebaik – baiknya dalam merangka bajet bagi tahun 2016, dengan mengutamakan keperluan rakyat khususnya anak muda yang kian tersepit dengan perubahan landskap ekonomi yang tidak menentu,” ujarnya lagi.