Pelan Strategik Mesra Rakyat

BATU PAHAT 19 Okt. – Pelan strategik yang dirangka setiap lima tahun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu memberi fokus terhadap aspek yang boleh mengeratkan hubungan antara agensi tersebut dengan masyarakat.

image-3Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi berkata, konsep dalam pelan strategik yang dirangka mesti mempunyai landasan atau platform untuk melibatkan kedua-dua pihak ber-kenaan.

Menurutnya, pelan berkenaan merupakan program berterusan yang dirangka setiap lima tahun dan tidak boleh terhenti sekiranya terdapat perubahan dalam struktur pentadbiran sesebuah PBT.

“Sebagai contoh, sekiranya sesebuah PBT itu bertukar Yang Dipertua (YDP), maka perancangan yang dilakukan sebelum ini perlulah diteruskan dan diselesaikan terlebih dahulu oleh YDP baharu.

“Ini akan memastikan setiap perancangan yang telah dirangka lebih awal dapat diteruskan untuk memastikan

kepentingan rakyat terpelihara,” katanya semasa melancarkan Pelan Strategik Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Tempatan, Mohd. Khir Johari; YDP MDYP, Kamalludin Jamal dan Ketua Whip MDYP, Kamal Harun.

Abd. Latif berkata, setiap PBT juga perlu memberi fokus terhadap empat pelaksanaan dalam setiap pelan strategik yang dirangka mereka.

“Antaranya, landskap yang baik, kawasan riadah, pembangunan infrastruktur dan kemudahan serta program yang menepati kehendak rakyat,” katanya.- UTUSAN