Anggota Parlimen Perlu Dukung Prinsip Tanggungjawab, Tidak Politikkan Isu

KUALA LUMPUR, 19 Okt  — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mahu semua anggota Parlimen mendukung prinsip kebertanggungjawaban khususnya semasa mengemukakan mana-mana usul persendirian
semasa persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

image-2Beliau berkata ini bagi memastikan Usul Persendirian yang dikemukakan tidak berlandas spekulasi semata-mata serta tidak melanggar mana-mana  Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

“Adalah menjadi tanggungjawab dan hak setiap anggota Parlimen yang telah dilantik dan dipilih rakyat untuk bersuara namun tidak boleh melanggar sebarang peraturan yang telah ditetapkan.

“Perlu diingat juga, setiap usul yang dibawa anggota Parlimen sama ada akan dibahaskan atau tidak adalah terpulang kepada Yang Dipertua Dewan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Persidangan kali ini merupakan yang pertama bagi Azalina yang kembali ke Parlimen sebagai menteri susulan rombalan Kabinet Julai lepas, menggantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan bertanggungjawab menjaga hal ehwal Parlimen.

Azalina turut berharap pembentangan usul yang berkaitan isu-isu kontroversi tidak dipolitikkan mana-mana pihak terutamanya pihak-pihak berkepentingan yang berniat untuk mengelirukan rakyat.

Mengenai transformasi Parlimen seperti yang dicadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Azalina berkata perkara itu menjadi antara agenda di bawah pemantauan beliau.

“Jawatankuasa Transformasi Parlimen ini diterajui Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membentang segala maklumat dan laporan daripada jawatankuasa ini ke Kabinet,” katanya yang juga anggota Parlimen Pengerang.

Ditanya mengenai pelantikan anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin yang dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu, Azalina berkata Hasan mempunyai kredibiliti serta kriteria untuk membawa kebenaran kepada rakyat.

Pemilihan Hasan sah selepas majoriti anggota Dewan Rakyat bersetuju dengan usul Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilihnya bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri
Dalam Negeri.