Tiada Pemimpin UMNO Johor Akan Sertai PKR – Mohamed Khaled

JOHOR BAHARU, 17 Okt – Tiada pemimpin UMNO Johor dijangka meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

20150922074323Menteri Besar Johor itu berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut dan yakin tiada pemimpin yang melakukannya.

“Yang saya tahu, tidak ada…saya tidak ada terima apa-apa maklumat. Mungkin politik ini suka gembar-gemburkan sebegitu dan kadang-kadang tiada pun hal itu tetapi mereka (pembangkang) sengaja mahu dapatkan publisiti dan sebagainya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Kampung Kuala Masai, di sini, hari ini.

Semalam, PKR Johor mendedahkan beberapa lagi pemimpin dalam UMNO dijangka bakal menyertai parti itu dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada waktu bersesuaian.

Pengerusi PKR Johor Hassan Karim menerusi sebuah akhbar tempatan dilaporkan berkata parti itu sedang merisik beberapa tokoh pemimpin dalam UMNO untuk menyertai parti tersebut.

Menurut Mohamed Khaled beliau percaya pemimpin dan anggota UMNO negeri ini masih berpegang teguh kepada prinsip parti walaupun ada yang berasa kecewa ataupun marah.

“Kecewa, marah, tidak puas hati memang ada tetapi tidaklah sampai ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

“Soalnya sekarang, kita perlu lihat kepada institusi dan bukannya orang kerana institusi mesti kekal…orang datang dan pergi atas macam-macam sebab seperti kecewa atau sebagainya,” katanya.

Merujuk kepada tindakan bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah yang kini menyertai PKR, Mohamed Khaled yang pernah menjawat Menteri Pengajian Tinggi berkata ia tidak merugikan UMNO.

Menurut Mohamed Khaled, beliau sangat mengenali keperibadian Saifuddin yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan tidak hairan dengan tindakannya yang meninggalkan UMNO.