Kampung Kuala Masai, Kampung Pasir Gudang Baru Dibangunkan Sebagai Eko Pelancongan

JOHOR BAHARU, 17 Okt — Kampung Kuala Masai dan Kampung Pasir Gudang Baru dekat sini, bakal dibangunkan menjadi sebuah perkampungan eko-pelancongan termasuk pengwujudan pasar terapung sebagai tarikan kepada orang ramai.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek itu yang masih di peringkat kajian akan dibangunkan kerajaan negeri bersama-sama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).JB01_171015_MB-KOSPEN

“Pembangunan ini dilakukan bagi memastikan kampung tradisional sekitar Iskandar Malaysia terpelihara selain tidak terpinggir berikutan kepesatan pembangunan di sekeliling,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Kampung Kuala Masai, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi menjayakan hasrat itu, sebuah pelan induk berkaitan rancangan berkenaan sedang dilakukan dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

Katanya terdapat kira-kira 700 penduduk di Kampung Kuala Masai, manakala lebih 2,000 penduduk di Kampung Pasir Gudang Baru, dan kerajaan negeri memerlukan sokongan daripada mereka bagi menjayakan pembangunan tersebut.

“Kita merancang membina jambatan di Sungai Masai bagi menghubungkan kedua-dua kampung itu, dan pasar terapung di atas sampan yang dirancang itu bakal digiatkan dengan penjualan hasil penduduk kampung,” katanya.

Mohamed Khaled berkata selain projek perintis itu, pihaknya juga akan meneliti perkampungan lain di Iskandar Malaysia yang boleh dibangunkan dan dikekalkan identitinya supaya tidak ditelan zaman.