Kerajaan Johor Rancang Tubuh Unit Khas Modal Insan Awal Tahun Depan

JOHOR BAHARU, 16 Okt  — Sebuah Unit Khas Modal Insan bakal di tubuhkan oleh kerajaan negeri bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) bagi menguruskan modal insan dengan lebih sistematik.

image-1Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R. Vidyanathan berkata penubuhan unit itu masih lagi dalam proses perancangan awal dan bakal dikemukakan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kami bermula apabila telah mendapat kelulusan, unit ini bertujuan untuk  menyimpan data yang sahih selain menterjemah fungsi sesebuah agensi secara lebih praktikal.

“Dengan adanya satu pusat sehenti seperti ini, ia bertanggungjawab mengumpul segala maklumat seperti data, statistik, publisiti agensi dan pengguna dalam satu masa,” katanya selepas merasmikan Kembara Kerjaya Johor 2.0 di sini hari ini.

Beliau berkata hasil daripda analisa terhadap maklumat dan data yang diperoleh akan menjadi penggerak kepada perancangan strategik dalam melahirkan modal insan di negeri ini.

“Pusat ini dapat membina kerjasama padu di antara kerajaan negeri dan persekutuan dan swasta bagi menangani isu modal insan secara dinamik dan menyeluruh,” katanya.

Selain itu, Vidyanathan berkata pusat ini juga memudahkan rakyat dan agensi berhubung mengenai pekerjaan dan pusat latihan, sekali gus memudahkan kerajaan memantau modal insan berdaftar yang terdapat di negeri ini.

Mengenai Kembara Kerjaya Johor yang berlangsung selama tiga hari di empat daerah, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama 32 majikan dan agensi, menawarkan kira-kira 1,700 pekerjaan untuk diisi oleh rakyat negeri ini.

Tahun lepas, sebanyak 1,800 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program yang sama dan 1,486 daripadanya berjaya diisi oleh rakyat Johor.