Johor, Batam Bentuk Jawatankuasa Bersama Kembang Industri Pelancongan

BATAM (Indonesia), 16 Okt — Johor dan Batam sepakat membentuk sebuah jawatankuasa pelancongan bersama bagi merangka strategi strategik untuk mengembangkan industri pelancongan di kedua-dua wilayah itu.

PROGRAM PELANCONGAN EXPLORE JOHOR KE BATAMPembentukan jawatankuasa itu dicapai sewaktu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong mengadakan perbincangan dua hala mengenai sektor terbabit dengan Walikota Batam, Dr Ahmad Dahlan petang semalam.

Perbincangan itu susulan kunjungan hormat Tee ke atas Ahmad bersama 140 lagi delegasi Explore Johor di Kantor Walikota Batam, di sini.

Batam merupakan kawasan keenam dilawati delegasi terbabit selepas Myanmar, Sabah, India, Ipoh dan Guangzhou (China).

Menurut Tee jawatankuasa itu berfungsi merangka strategi melalui isu semasa dan mengemukakan cadangan dari segi perancangan penyertaan promosi, pemasaran serta pertukaran program pelancongan dan kebudayaan.

Ia juga akan menjadi platform untuk meningkatkan kunjungan pelabur, menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa dan pelancong berikutan kedua-dua wilayah akan muncul sebagai pengembangan perniagaan yang berdaya saing.

“Kami berharap jawatankuasa ini turut memperkukuh dan memperkemaskan isu-isu pelancongan yang belum terungkai, contohnya melibatkan laluan kemasukan utama kedua-dua wilayah untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad optimis penubuhan jawatankuasa berkenaan akan membantu wilayahnya berkembang maju selepas mengambil kira kepelbagaian pakej pelancongan yang dimiliki ketika ini.

Tahun lepas, Tourism Malaysia menyenaraikan pasaran Indonesia sebagai pasaran kedua utama kepada pelancongan Johor berikutan menyumbang 1.26 juta pelancong ke negeri itu.

Menurut Tourism, kemasukan pelancong Indonesia itu didorong beberapa faktor antaranya mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital pakar.