Tunku Laksamana Johor Dipakaikan Pangkat Inspektor

JOHOR BAHARU, 13 Okt  — Anakanda Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim hari ini dipakaikan pangkat Inspektor dalam majlis ringkas di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Majlis pemakaian pangkat terhadap Tunku Laksamana Johor itu disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

12068600_1162589053768607_6664904304964008091_oBerangkat menyaksikan majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Khaleeda Bustamam serta para anakanda lain.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Tunku Abdul Jalil yang ditemui pemberita selepas majlis itu melahirkan rasa syukur dan gembira atas pemakaian pangkat itu sekali gus berterima kasih kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya mengikuti latihan kepolisan empat tahun lepas dan hari ini saya ditauliah sebagai seorang Inspektor.

“Saya akan menghadiri kursus lain yang sesuai pada masa akan datang sama ada di Johor atau di mana-mana pun dihantar,” kata Tunku Abdul Jalil yang sebelum ini mengikuti kursus latihan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.

Sementara itu, Khalid berkata dengan pemakaian pangkat itu, Tunku Abdul Jalil kini menjawat jawatan Ketua Turus Pengelola Diraja Istana Johor mulai hari ini.

Beliau berkata Tunku Abdul Jalil akan memikul tugas bersama pegawai keselamatan istana dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor dalam memastikan keselamatan istana dan harta benda.

Menurutnya, Tunku Abdul Jalil akan dipanggil untuk menghadiri kursus lain kelak bagi meluaskan pengalaman dalam ilmu kepolisan termasuk pentadbiran dan siasatan.