Tanam Sayur Bantu Kurangkan Kos Sara Hidup – Baderi

KOTA TINGGI – Orang ramai digalakkan menanam tanaman sendiri seperti sayur dalam usaha untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pada masa kini.

imageAdun Panti, Datuk Baderi Dasuki berkata, apa sahaja makanan yang boleh ditanam sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar  tidak perlu membelanjakan wang bagi membeli ia di pasar.

Menurutnya, masyarakat haruslah menyahut saranan tersebut lebih-lebih lagi pada hari ini rakyat berdepan kos kehidupan yang semakin meningkat.

“Apa sahaja tanaman yang boleh ditanam sendiri kita tanam contohnya seperti cili danpelbagai sayur lain. Alangkah baiknya jika kita menjadikan sumber yang ada ini untuk membantu mengurangkan kos kehidupan.

“Meskipun tahap inflasi kita masih dalam zon munasabah jika hendak dibandingkan dengan negara lain selain harga barangan kita masih murah tetapi jangan pula kita membazir. Cara mana yang boleh kita kurangkan kos, kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ahli Parlimen Tenggara merasmikan Program Hari Tani Peringkat Daerah Kota Tinggi 2015 di Dewan Bandaran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bandar Tenggara anjuran Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi, semalam.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Azizul Hafiz Azizan dan Wakil Kejora, Mohd Fakharur Razziy Hazran.

Dalam pada itu, Baderi turut mengingatkan penerima bantuan daripada agensi kerajaan agar dapat menggunakan peralatan yang diberi  dengan sebaiknya.

Katanya, ia kerana terdapat sesetengah pihak yang tidak menghargai bantuan yang diberikan dengan membiarkan sahaja barangan yang diberi tanpa digunakan. – Sinar Harian