Loji Nuklear Dijangka Beroperasi Pada 2030

JOHOR BAHRU 13 Okt. – Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) menjangkakan loji jana kuasa nuklear pertama di negara ini bakal beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030, lewat sembilan tahun berbanding sasaran asal iaitu 2021.

image-3Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohd. Zamzam Jaafar memberitahu, anjakan tersebut dilakukan selepas insiden yang berlaku melibatkan loji jana kuasa nuklear di Fukushima, Jepun pada 2011.

Menurutnya, tarikh asal yang di­keluarkan dalam laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2010 itu dipinda bagi memastikan pihak kerajaan serta masyarakat bersedia sepenuhnya sebelum terlibat de­ngan tenaga nuklear.

“Memang berdasarkan laporan Program Transformasi Ekonomi 2010, kita menjangka Malaysia bakal me­miliki loji jana kuasa nuklear pa­da 2021, namun selepas insiden Fu­kushima, tempoh tersebut dian­jakkan ke 2030.

“Tempoh masa tersebut akan digunakan bagi menangani persepsi negatif masyarakat umum terhadap pembinaan loji jana kuasa tersebut, selain bertujuan mempertingkatkan aspek melibatkan keselamatan,” ka­tanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Belia Nuklear 2015 (NYC 2015) di Universiti Tek­nologi Malaysia (UTM), di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Pem­bangunan Program Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ke­tua Program Sarjana Muda Ke­juruteraan Nuklear UTM, Dr. Khai­dzir Hamzah.

Program selama dua hari ter­sebut mengumpulkan lebih 100 pensyarah, penuntut serta wakil-wakil agensi berkaitan tenaga nuklear dari dalam dan luar negara.

Mohd. Zamzam berkata, ta­rikh tersebut juga dianjakkan ba­gi membolehkan pihak ber­kuasa memberi lebih fokus ter­ha­dap penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan program kece­kapan tenaga, berbanding peng­gunaan tenaga nuklear.

“Jika Malaysia berhasrat memiliki loji jana kuasa nuklear menjelang 2030, perjanjian berkaitan harus dilakukan pada 2020. Ini kerana tempoh pe­laksanaan dan pembinaannya me­makan masa kira-kira 10 tahun, sebelum boleh mula beroperasi.

“Di rantau Asia Tenggara, Viet­nam merupakan negara yang pa­ling aktif melibatkan diri dengan pembangunan kuasa nuklear dan loji jana kuasa pertama mereka dijangka beroperasi pada tahun 2025,” katanya. – Utusan