Johor Mohon Peruntukan Khas Tingkatkan Bekalan Air

JOHOR BAHRU 11 Okt. – Kerajaan Pusat diharap dapat mempertimbangkan permohonan Johor yang memerlukan peruntukan khas bagi meningkatkan per­khidmatan bekalan air di negeri ini dalam pembentangan Bajet 2016.

imageMenteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah memulakan pelan jangka panjang dalam meningkatkan bekalan air di negeri ini yang kini berdepan dengan masalah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berharap kerajaan Pusat dapat meluluskan pe­­r­untukan bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam sekali gus menyediakan perkhidmatan lebih selesa kepada orang ramai.

“Seperti yang kita sudah kemukakan kepada kerajaan Pusat, salah satu perkara paling utama yang kita harap dapat pertimbangan dan dimulakan usaha serta tumpuan adalah meningkatkan bekalan air di Johor.

“Itu perkara nombor satu dan yang utama bagi kita. Yang kedua adalah berkaitan per­khidmatan pengangkutan awam,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang permintaan kerajaan negeri dalam Bajet 2016.

Mohamed Khaled ditemui selepas merasmikan Persidang­an Antarabangsa Rendah Karbon Asia (ICLCA) 2015 yang dianjurkan sempena mesyuarat tahunan Low Carbon Asia Network (LoCARnet) 2015 di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Pada Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamad berkata, Johor memohon peruntukan RM660 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi menampung keperluan bekalan air bersih.

Diminta mengulas penangguhan pelaksanaan caj permit masuk kenderaan (VEP), Mohamed Khaled berkata, pihak­nya telah menyerahkan perkara tersebut kepada kerajaan Pusat dan kementerian terbabit untuk menguruskannya.- Utusan