Profesional Diundang Islahkan UMNO

JOHOR BAHRU 9 Okt. – UMNO Johor akan terus membuka ruang yang luas kepada golongan profesional dalam usaha mengislahkan parti itu agar kekal relevan seiring peredaran zaman supaya mereka tidak hanya menjadi pemerhati.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, golongan profesional dalam parti kini berpeluang tampil ke hadapan memandangkan ilmu serta kemahiran tinggi penting bagi menjayakan agenda dan perjuangan parti dan masyarakat.

image-2“Kita percaya kewibawaan golongan terpelajar ini akan menjadi pemangkin kepercayaan kepada parti dan jika UMNO ingin terus dihormati, maka parti ini perlu didukung dan dipimpin oleh mereka yang disegani dan boleh diteladani masyarakat.

“Ini kerana setiap ahli mempunyai kelebihan serta peranan dan merupakan aset penting kepada parti. Kita meletakkan teraju pengislahan UMNO kepada golo­ngan profesional kerana kita mahu masyarakar lihat ikhtiar ini adalah serius dan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Seminar Merekayasa Perjuangan dan Memahami Pemikiran Pendiri Bangsa di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Pada majlis sama, Khaled yang juga Menteri Besar turut melancarkan sebuah institut pemikir dikenali sebagai Bait al-Amanah yang akan dipengerusikan oleh Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Mohamed Khaled berkata, ins­titut pemikir itu akan berperanan menjadi sumber rujukan UMNO Johor dalam meneroka dasar baharu, merekayasa dasar sedia ada dan menyusun agenda yang lebih strategik dalam perjuangan orang Melayu pasca moden.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menyambut baik penubuhan institut pemikir itu dan menyifatkan pelancarannya bertepatan dengan suasana dan landskap politik pada ketika ini.

Beliau turut berharap institut pemikir itu mendapat sokongan semua pihak serta dapat menjadi warisan kepada generasi akan datang de­ngan pendekatan yang lebih inklusif.- Utusan