Cubaan Rampas Pimpinan Negara Dengan Jalan Pintas Tidak Beri Kebaikan Kepada Rakyat – Razali

MUAR, 10 Okt – Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, pihak-pihak yang ingin merampas tampuk kepimpinan Negara dengan jalan pintas tidak akan mampu memberi kebaikan, kesenangan dan kesejahteraan dalam jangka panjang kerana mereka tidak mempunyai roh perjuangan.

20151010041724Ujarnya, di banyak Negara termasuklah di Malaysia, memang terdapat pihak-pihak yang cuba ‘naik’ dan menumbangkan kerajaan sedia ada tetapi sekiranya mereka berjaya, perkara tersebut hanya merupakan keseronokan sementara.

“Untuk mendapat satu perkara yang baik tidak ada jalan pintas. Kita mesti bermula denga satu perjalanan yang jauh. Perlu diingat, tidak ada satupun tamadun yang dibangunkan di dunia ini dengan jalan pintas.

“Oleh itu, kita harus melihat kembali sejarah lama bagaimana pejuang terdahulu berkorban segalanya demi kemakmuran kita sekarang ini,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Razali, walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan tidak perlu merenung sejarah lampau tetapi kenyataannya sejarah lampau tidak boleh dilupa atau dipadamkan dari memori.

“Sebab itu saya suka kita melihat sejarah lama kerana sejarah kejayaan UMNO memang sangat cemerlang untuk diceritakan..

“Tidak ada satupun parti dalam Negara ini yang mempunyai sejarah lampau cemerlang seperti UMNO kerana melalui UMNO lah kita mengecapi kemerdekaan.

“Jadi kita harus mengingati sejarah dan pengorbanan mereka terdahulu untuk membangun dan terus memperkukuhkan UMNO,” katanya lagi.

Untuk itu katanya, semua ahli UMNO harus terus bersatu demi memastikan pengorbanan nenek moyang kita dahulu bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Walaupun kini keutuhan UMNO terus dicabar dan cuba diperkotak-katikkan tetapi beliau yakin, rakyat masih mempercayai kredibiliti UMNO di dalam menerajui Negara ini.