UMNO Johor Wujud Institut Pemikir Ba’it Al-Amanah – Khaled

JOHOR BAHRU, 9 Okt – UMNO sebagai pertubuhan politik perlu merangka pelbagai agenda dan bergerak berasaskan pemikiran terkini.

20151008234655Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar-dasar baharu perlu diteroka, manakala dasar-dasar sedia ada perlu direkayasa lantas disusun menjadi strategik agar ianya mendasari perjuangan orang Melayu pasca moden.

“Atas kesedaran itu, Ba’it Al-Amanah ditubuhkan. Ianya dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor.

Kita mahu menjadi parti yang moden, pilihan masyarakat, tidak lemas dengan gelombang globalisasi dan disarati dengan idea-idea baharu dan segar yang bersandarkan dengan data emperikal demi kepentingan bangsa,” ujarnya ketika berucap merasmikan Seminar Merekayasa Perjuangan Dan Memahami Pemikiran Pendiri Bangsa di sini hari ini.

Tambahnya, inilah tekad dan ikhtiar pengislahan kita melalui penubuhan Ba’it Al-Amanah sebagai sebuah institut pemikir yang pastinya akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah perjalanan UMNO Johor dan merupakan hadiah UMNO untuk bangsa dan negara.