Penubuhan Bait Al Amanah Tangani Cabaran Situasi Politik Masa Kini – Hishammuddin

JOHOR BAHARU, 9 Okt — Penubuhan badan pemikir Bait Al Amanah dianggap bertepatan dengan keadaan situasi politik tempatan yang sangat mencabar dan memerlukan pendekatan yang membina, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

12140165_10153385283329355_2121972518214362086_oBeliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata, inisiatif UMNO Johor perlu diberi pujian memandangkan penubuhan badan pemikir itu adalah satu usaha positif dalam menambah baik situasi dalaman parti di sebalik persepsi negatif sesetengah pihak terhadap parti.

“Dalam landskap politik hari ini yang menjurus kepada perpecahan, kepada kebencian, kepada kerakusan yang saya rasa mesti diimbangi dengan sesuatu pendekatan yang membina.

“Jadi, Bait Al Amanah ini dengan kandungan dan sasaran yang dinyatakan, saya rasa tepat pada masa dan perlu diberi sokongan,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran badan pemikir itu di sini, hari ini.

Beliau berharap agar segala hasil dari badan pemikir itu akan kemudiannya dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Pendekatan inklusif dan gandingan antara kerajaan dan parti melibatkan masyarakat merupakan satu gandingan, sama ada suka atau tidak suka, menentukan kelangsungan perjuangan parti UMNO itu sendiri,” kata Hishammudin.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dengan adanya badan pemikir itu, ia memberi isyarat kepada pihak pembangkang yang UMNO Johor bersedia untuk menghadapi segala bentuk cabaran.

“Kita tahu kita sentiasa diperhatikan tindak-tanduk oleh pihak pembangkang dan kita suka nak nyatakan adalah tidak mudah untuk mereka berusaha untuk terjemah atau laksana matlamat mereka kerana kita akan tentukan mereka akan gagal,” tegas Menteri Besar Johor itu.