SAJ Lanjutkan Bekalan Air Berjadual Di Sebahagian Kawasan Johor Baharu, Pengerang Sehingga 15 Nov

JOHOR BAHARU, 8 Okt — Bekalan air berjadual di sebahagian daerah Johor Baharu, Pengerang dekat Kota Tinggi dilanjutkan sehingga 15 Nov ini bagi menambahbaik sistem bekalan air memandangkan paras kenaikan air di empangan berkenaan belum menunjukkan perkembangan positif.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ Holdings) Jamaluddin Jamil berkata penambahbaikan itu termasuklah pelaksanaan pembebasan beberapa zon kawasan yang dikenalpasti mendapat sumber air terawat sepenuhnya daripada loji Sungai Johor melalui pengolahan sistem air.
20151008073304“Menerusi pengolahan sistem air setakat ini, kita dapat kurangkan zon dan kawasan daripada catuan air. Sebelum ini, sebanyak 20 lebih zon yang terlibat dan kita telah berjaya bebaskan empat zon yang kita catu sebelum ini,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata kejayaan pengolahan sistem air itu membawa kepada pembebasan empat zon yang meliputi 18,845 pemegang akaun di kawasan Taman Johor Jaya, Industri Tebrau 1,2 dan 4, Industri Mount Austin dan Damansara Alif.

“Pola kenaikan masih belum stabil dan pihak SAJ masih belum melihat bekalan air berjadual di kawasan Pasir Gudang dan sebahagian Johor Baharu boleh di tamatkan,” kata Jamaluddin.

Buat masa ini, paras semasa di empangan Sungai Layang adalah 19.71 meter berbanding paras kritikal 23.50 meter, manakala empangan Sungai Lebam pada paras 8.88 meter berbanding paras kritikalnya 12.27, kata beliau.

Beliau berkata situasi semasa di kedua-dua empangan berkenaan menyebabkan loji rawatan air Sultan Iskandar dan loji rawatan air Sg Lebam yang dikendalikan oleh pihak SAJ itu hanya mampu beroperasi pada pengeluaran yang paling minimum.

Jamaluddin berkata penduduk yang terlibat termasuklah 116,00 pemegang akaun di sebahagian besar daerah Johor Baharu, Pasir Gudang, Masai serta 13,299 pemegang akaun di Mukim Tanjung Surat, Mukim Pantai Timur dan Mukim Pengerang sebahagian kawasan Kota Tinggi.

Bekalan air berjadual ini bakal terbatal sekiranya paras air empangan menunjukkan peningkatan, namun sekiranya keadaan bertambah kritikal, jadual lain akan dikeluarkan bersesuaian dengan keadaan pengeluaran loji.

Maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau sms 019-7727474 atau menerusi emel: customer.care@saj.com.my yang beroperasi selama 24 jam.

Ini merupakan kali ketiga SAJ Holdings melanjutkan bekalan air berjadual, yang sepatutnya berakhir 15 Oktober ini.