MOSTI Komited Bantu Pengusaha Desa Komersilkan Produk Inovasi

JOHOR BAHARU, 7 Okt  — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) komited membantu pengusaha desa untuk mengkomersilkan produk inovasi mereka menerusi Program Inovasi Sosial.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata kementerian menerima peruntukan RM30 juta daripada kerajaan bagi mengembangkan Program Inovasi Sosial dan sebanyak RM13 juta telah dibelanjakan tahun ini.

unnamed-1“Ramai pengusaha desa menghasilkan produk inovasi, namun mereka berdepan halangan termasuk kewangan untuk mengkomersilkannya.

“Sehubungan itu, Mosti bantu mereka dengan memberi geran maksimum RM100,000 seorang. Menerusi geran itu, kita akan bantu mereka dari awal termasuk pensijilan, ujian produk, pembungkusan sehingga produk yang dihasilkan itu masuk ke pasaran, sekali gus menjadikan mereka usahawan,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Inovasi, Kerjaya dan Keusahawanan 2015 Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini, hari ini.

Menerusi Program Inovasi Sosial itu, Mosti berharap dapat mencapai sasaran 360 produk dikomersilkan Mosti menjelang 2020 seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Kita berharap dengan adanya dana berkenaan, kita dapat meningkatkan jumlah produk inovasi yang dikomersilkan terutamanya dalam industri kecil, sekali gus meningkatkan bilangan usahawan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.