MAINJ Peruntuk RM150,000 Biaya 20 Anak Asnaf Jalani Latihan Industri Minyak Dan Gas

JOHOR BAHARU, 8 Okt — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM150,000 bagi membiayai 20 orang pelajar kalangan anak asnaf negeri ini untuk menjalani latihan dalam industri minyak dan gas menerusi Program Memperkasa Tunas Asnaf Johor.

Majlis Agama Islam JohorKetua Pegawai Eksekutif MAINJ Mohd Rofiki Shamsudin berkata program tersebut bertujuan membantu anak asnaf yang keciciran dalam pelajaran dengan memberi peluang dalam bentuk latihan industri seterusnya mendapat peluang pekerjaan.

“Menerusi RM150,000 itu, setiap anak asnaf itu akan menerima RM7,500 seorang untuk menjalani latihan industri tersebut yang merupakan kerjasama MAINJ dan Malaysian Offshore Contractor Association (MOCA) Resources Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran Program Memperkasa Tunas Asnaf, di sini , semalam.

Mohd Rofiki berkata kesemua 20 anak asnaf yang terpilih itu telah melalui sesi temuduga bagi mengikuti program julung kali tersebut.

Beliau berkata mereka bakal menjalani latihan asas industri berbentuk teori dan amali selama dua minggu di Kolej Komuniti Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi sebelum menjalani amali bagi tempoh enam hingga 12 bulan dalam pekerjaan.

Katanya setiap pelatih yang berjaya kelak akan ditempatkan terus ke dalam industri mengikut bidang teknikal yang dipelajari.

Sementara itu Pengarah Eksekutif MOCA Resources Sdn Bhd Ahmad Fauzi Abdul Samad berkata pihaknya menjanjikan setiap pelajar yang menyertai latihan itu akan mendapat pekerjaan pada masa akan datang memandangkan industri ketika ini memang memerlukan tenaga pekerja mahir.

“Selepas tamat menjalani program ini, kita harapkan mereka ini (anak asnaf) dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing. Kita lihat sektor ini (minyak dan gas) kini dimonopoli warga asing sedangkan orang tempatan juga boleh menceburinya jika diberi latihan yang konsisten,” kata beliau.

Menurut Ahmad Fauzi, sejak 2012, seramai 800 individu sudah menjalani latihan kemahiran di bawah kendalian pihaknya.

Seorang pelatih program itu, Muhammad Azri Azhar, 20, dari Taman Cendana, Pasir Gudang ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur kerana mendapat tawaran berkenaan dan berharap peluang itu dapat membantunya mengubah nasib keluarga.

“Sebelum ini saya tidak pernah menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan hanya bekerja di kilang. Setelah saya tahu mengenai program ini, saya nekad menghadiri temuduga dan tidak sangka terpilih menyertainya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.