UTHM Teruskan Tradisi Perarakan Konvokesyen

BATU PAHAT 6 Okt. – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan tradisi perarakan konvokesyen atau lebih dikenali sebagai Perarakan Town and Gown yang diadakan setiap kali upacara itu diadakan.

Perarakan yang masuk kali ketujuh itu diadakan di bandar Batu Pahat, Sabtu lalu bagi menguar-uarkan Majlis Konvokesyen ke-15 UTHM yang akan berlangsung pada 3 Oktober sehingga semalam.

imageUnit Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Korporat UTHM dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 17 kontinjen melibatkan 1,000 peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan UTHM serta beberapa agensi luar memeriahkan majlis itu.

“Program yang bertemakan Perarakan Dalam Warna Budaya itu bermula dari Jalan Rahmat ke Dataran Penggaram dengan menampilkan kontinjen yang membawa imej kebudayaan pelbagai etnik seperti Zapin, Hamdolok, Bangra, Tarian Singa dan Yoyo,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, kemuncak acara adalah ketika pembacaan pengisytiharan konvokesyen oleh Pendaftar UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman dan disusuli penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah, Mohd. Halim Hasbullah sambil disaksikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Menurut kenyataan itu, perarakan tersebut merupakan amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor.

“Di Malaysia, UTHM merupakan universiti pertama yang mengadakan perarakan ini, malah ia dijadikan produk pelancongan unik dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan daerah.

“Justeru itu, UTHM berhasrat akan terus komited menganjurkan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya.- Utusan