Polis Gempur, Musnah Sarang Penagih

JOHOR BAHRU 6 Okt. – Polis akan menggempur ke­semua 32 lokasi yang dikenal pasti menjadi sarang penagih dadah di negeri ini dalam usaha membersihkan kawasan tersebut serta mengurangkan aktiviti itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, usaha memusnahkan dan membersihkan sarang penagih dadah itu akan dijalankan secara berperingkat-pe­ringkat bermula semalam.

imageMenurutnya, Op Pemusnahan Sarang Penagih akan dimulakan di tiga lokasi di kawasan Masai di sini, iaitu di kawasan loji dan bakau di sebelah Lebuh Raya Pasir Gudang serta Jalan Pulasan, di Kota Masai, dekat sini.

“Operasi ini merupakan cetusan idea Ketua Polis negeri, Datuk Rusli Ahmad yang mahu setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini memutihkan kawasan yang menjadi titik hitam kejadian jenayah, termasuk aktiviti penagihan dadah.

“Menerusi operasi ini, kita bukan sahaja menangkap penagih dan membawa mereka ke muka pengadilan, tetapi juga akan memusnahkan sarang mereka agar tidak kembali ke lokasi berkenaan,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kese­lamatan Komuniti negeri, Senior Asisten Komisioner Zamani Hamdan serta Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Norazam Shaari.

Operasi tersebut disertai kira-kira 70 pegawai dan anggota dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Zulkifli menjangkakan tiga lokasi yang dibersihkan dalam operasi hari ini menjadi tempat kepada kira-kira 200 penagih dengan seramai 176 individu terlibat dengan jenayah berkaitan dadah telah ditahan di lokasi itu setakat ini.

“Selain untuk menghapuskan sarang penagih dadah, operasi ini juga bertujuan untuk memberi kelegaan kepada penduduk sekitar yang bimbang dengan ancaman kegiatan penagihan di kawasan mereka,” katanya.- Utusan