Tanpa khidmat ?orang tengah – Ayub

SEGAMAT 5 Okt. – Pekebun kecil di sini perlu memanfaatkan pembinaan Pusat Timbang dan Stor (PTS) oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk menjual hasil sawit secara berkelompok terus ke kilang tanpa melalui orang tengah.

image-4Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pembinaan PTS antara lain bertujuan menyediakan prasarana pemasaran kepada pekebun kecil di samping mendapatkan harga terbaik dan faedah kepada pekebun kecil setempat.

“Selain PTS Tekam, RISDA uga telah membina dua buah PTS lain sebelum ini di daerah ini yang dioperasikan oleh Kopedas iaitu PTS Sri Gajah dan PTS Kampung Paya Terap selain membina 10 depo jualan getah di sekitar daerah ini.

“Kopedas (Koperasi Pekebun Kecil Daerah Segamat) juga menyediakan perkhidmatan memetik sawit dan mengangkutnya ke PTS sekali gus memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan bilangan usahawan dalam pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PTS Tekam, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah RISDA negeri, Mohamad Sahlan Mahnoon; Pegawai RISDA Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Pengerusi Kopedas, Yaakob Muda.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah berkata, PTS Tekam mula dibina pada Mei 2014 dan siap sepenuhnya pada Oktober tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM250,000 dan mula beroperasi sepenuhnya pada Mac 2015.

Dalam pada itu, Mohamad Sahlan berkata, sebanyak 16 PTS telah dibina di negeri ini dan bantuan pembinaan PTS ini hanya diberikan kepada Koperasi Pekebun Kecil (KPK), syarikat milikan RISDA dan Jawatankuasa Tanam Semula Berkelompok (TSB).

“Risda hanya menyediakan prasarana PTS dengan membinanya ma­nakala yang mengendalikannya di daerah ini adalah Kopedas. Saya berharap PTS Tekam ini dapat menjana pendapatan koperasi dengan anggaran hasil sawit sebanyak 500 tan sebulan.

“Sekiranya keuntungan yang diterima daripada PTS ini tinggi, ahli-ahli juga akan turut menerima faedah iaitu dalam bentuk dividen selain PTS ini turut dibuka kepada orang awam yang bukan ahli koperasi,” katanya lagi.- Utusan