Pelihara Perpaduan ?– Sultan Ibrahim

BATU PAHAT 5 Okt. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tiada negara di dunia yang boleh maju dan membangun sekiranya rakyat hidup bermusuh-musuhan dan bersengketa antara satu sama lain.

image-5Baginda bertitah, sikap toleransi, budaya saling hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain serta menjauhi sikap berdendam adalah nilai mulia yang perlu dihayati oleh semua pihak.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bertitah, tidak mustahil perpecahan sesama sendiri (rakyat) akan muncul sekiranya semangat perpaduan tidak dipelihara dengan baik.

“Semangat bersatu-padu yang diamalkan oleh lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum, keturunan atau agama membantu kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara yang kita kecapi hari ini.

“Semangat itu jika tidak dipelihara dengan baik, maka tidak mustahil benih-benih perpecahan dan perbalahan akan muncul dan merosakkan keharmonian hidup masyarakat yang berbilang kaum ini,” titah baginda semasa merasmikan Majlis Konvokesyen UTHM Ke-15 di Dewan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pro Canselor UTHM.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pro Canselor UTHM, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pengerusi Lembaga Pe­ngarah UTHM, Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Md. Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Pada majlis konvokesyen itu, Sultan Ibrahim berkenan menganuge­rahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada tiga penerima iaitu Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Adanan Mohamed Hussain dan Prof. Dr. Josu Takala dari University of Vasaa, Finland.- Utusan