Kem Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Hasrat Perkenal Penjagaan Berasaskan Keluarga

JOHOR BAHARU, 2 Okt  — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat memperkenalkan pendekatan Penjagaan Berasaskan Keluarga sebagai menggantikan penempatan kanak-kanak di institusi kebajikan seperti sedia ada.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata Penjagaan Berasaskan Keluarga dengan menempatkan kanak-kanak di dalam jagaan ibu bapa atau penjaga gantian itu akan dilakukan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

12141665_10153043133366790_4928069334766498430_n“Bagi melaksanakan tujuan itu, JKM akan mengadakan perancangan secara menyeluruh sama ada jangka pendek atau jangka panjang bagi memastikan pendekatan tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya berucap pada majlis perasmian Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Ulu Tiram, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Asiah Md Ariff dan Ketua Pengarah JKM Datuk Zulkiply Ramli.

Rohani berkata berdasarkan kajian, pendekatan baharu itu menunjukkan kanak-kanak mengalami proses tumbesaran yang lebih sihat dan sempurna melalui persekitaran kekeluargaan.

Beliau berkata penjagaan berasaskan kekeluargaan itu telah dilaksanakan di beberapa negara seperti United Kingdom, Moldova dan Kemboja.

Katanya, buat permulaan, JKM telah melaksanakan pendekatan Penjagaan Berasaskan Keluarga itu dengan menempatkan 26 kanak-kanak dalam jagaan ibu, bapa atau keluarga pelihara.

Beliau turut menyeru semua pihak sentiasa bekerjasama dalam menangani isu berkaitan kanak-kanak memandangkan ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya menjadi tanggungjawab pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat mahupun golongan individu.

Sementara itu, Asiah menerusi ucapannya berkata RKK Mini Ulu Tiram yang dibuka Jun lepas dan mampu menempatkan sehingga 30 kanak-kanak itu merupakan RKK Mini kedua yang diwujudkan di negara ini selepas Kelantan.

Beliau berkata RKK Mini diwujudkan bertujuan untuk memberi pemeliharaan dan perlindungan gantian kepada kanak-kanak serta menggalakkan perkembangan fizikal, emosi dan mental secara sihat dalam suasana tenteram dan selamat.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang diterima masuk di RKK Mini adalah yang berumur 12 tahun ke bawah dengan perintah mahkamah di bawah Seksyen 19 dan 30 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Menurut Asiah, antara perkhidmatan yang disediakan di RKK Mini termasuk pemeliharaan dan perlindungan, bimbingan dan kaunseling, pendidikan, didikan agama dan moral, aktiviti riadah dan rekreasi serta kemudahan rawatan dan perubatan.