MBJB Ambil Tindakan Terhadap Premis Gagal Patuhi Peraturan Papan Iklan

JOHOR BAHARU, 1 Okt  — Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) akan mengambil tindakan tegas terhadap kira-kira 5,000 pemilik premis yang masih gagal mematuhi peraturan papan iklan di sekitar bandar raya ini.

Pengarah Penguatkuasaan MBJB Khairulanuar Esa berkata tindakan yang bermula hari ini dilakukan bagi menjamin keselamatan orang ramai memandangkan pemasangan papan iklan yang terlalu besar membawa risiko bahaya.

Khairulanuar berkata menerusi operasi pertama hari ini, enam premis di Jalan Harimau Tarom, di sini diberikan notis dengan satu daripadanya akur menurunkan papan iklan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menurutnya, pemilik premis diberikan tempoh sehingga 1 Januari tahun depan untuk menurunkan papan iklan terbabit atau berdepan tindakan seperti digantung lesen perniagaan dan barangan yang disita tidak dikembalikan kerana akan dilupuskan.

“MBJB telah menggariskan panduan, syarat lesen serta iklan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan 2010 untuk dipatuhi peniaga.

“Semua pemilik premis harus mematuhi garis panduan ditetapkan dan setiap papan iklan yang dibuat tidak boleh melebihi ukuran maksimum iaitu 20×4 kaki, sekali gus tidak menutupi struktur premis,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi penurunan papan iklan, di sini Khamis.