Kelab Media Johor Agih 1,000 Penutup Hidup Dan Mulut Kepada Murid

JOHOR BAHARU, 1 Okt — Kelab Media Johor (KMJ) pada Khamis menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan 1,000 penutup hidung dan mulut kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Uda, di sini, berikutan kualiti udara yang merosot akibat jerebu.

01_JHR_KMJ TOPENG056Presidennya Mohamad Fauzi Ishak berkata inisiatif itu bertujuan menitikberatkan aspek kesihatan terhadap kanak-kanak sekali gus membantu pihak sekolah dalam menyediakan penjagaan kesihatan.

“KMJ amat prihatin kepada masyarakat sekeliling dalam menghadapi persekitaran terjejas ketika ini lebih-lebih lagi murid sekolah.

“Tugas kami selaku pengamal media bukan sekadar melaporkan berita sebaliknya kami juga mempunyai peranan dan tanggungjawab kepada masyarakat dalam menangani masalah jerebu ini,” katanya.

Mohd Fauzi berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan penutup hidung dan mulut berkenaan dengan diiringi Guru Besar SK Kompleks Uda, Sari’at Mokmin.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka dalam mengawasi anak masing-masing termasuk membiasakan diri mereka dengan memakai penutup hidung dan mulut.

Sementara itu, Sari’at berkata sekolah yang memiliki 933 murid itu menyambut baik inisiatif KMJ berkenaan.

“Ada segelintir murid yang batuk ekoran persekitaran kini… ini julung kali sekolah ini menerima agihan penutup hidung harap murid dan guru manfaatkannya,” katanya.