Semua Kaum Perlu Saling Menghormati- Halimah

KOTA TINGGI 29 Sept. – Masyarakat berbilang kaum diingatkan supaya sentiasa menghormati antara satu sama lain bagi memastikan negara terus aman dan makmur.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, keharmonian masyarakat amat penting bagi memastikan negara aman dan rakyat terus bersatu padu menghadapi cabaran masa depan.

image-2“Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kita semua mesti bersatu padu demi kemakmuran dan keamanan negara ini,” katanya semasa merasmikan Malam Pesta Tanglung 2015 anjuran Persatuan Tionghua Kota Tinggi, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Kota Tinggi, Datuk Tan Yu Kung, Ketua MCA Bahagian Tenggara, Gan Ong Pin, Ketua MCA Bahagian Kota Tinggi, Ng Keng Heng dan Ketua Gerakan Tenggara, Albert Teo.

Lebih 1,000 orang menghadiri majlis yang diserikan dengan persembahan kebudayaan termasuk nyanyian daripada artis kanak-kanak yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, Crystal Lee.

Halimah yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berharap lebih banyak program seumpama itu yang berkonsepkan 1Malaysia diadakan pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi ikatan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, pesta tanglung yang disambut oleh kaum Cina sebagai simbol tuah, keharmonian dan nasib baik pastinya lebih meriah jika diraikan bersama kaum, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengenali budaya ber­kenaan dengan lebih dekat.- Utusan