RM6 juta bina 4 stesen IPU

JOHOR BAHRU 28 Sept. – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperuntukkan RM6 juta untuk membina empat buah lagi stesen bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), menjadikan jumlahnya lapan stesen di negeri ini.

image-1Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, setiap stesen tersebut dibina dengan kos RM1.5 juta dan akan ditempatkan di Pengerang, Segamat, Pontian dan Batu Pahat.

“Kita menjangkakan kesemua stesen tersebut siap sepenuhnya pada April tahun depan. Tujuan kita membina lagi stesen tersebut untuk mendapatkan bacaan IPU yang le­bih tepat berbanding alat bacaan mudah alih yang digunakan ketika ini.

“Pada masa ini, kita mempunyai empat stesen, iaitu di Pasir Gudang, Kota Tinggi, Larkin dan Muar,” katanya selepas menutup Program Say No To Obesity di Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Unit Sekolah Rendah, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Rahman dan Guru Besar SK Kempas, Halimah Baharuddin.

Dalam pada itu, Ayub membe­ritahu, keadaan yang berjerebu sekarang menyebabkan pening­katan kes kemasukan ke wad di 12 hospital awam di negeri ini.

Pada Julai seramai 28,768 orang dimasukkan ke dalam wad dan jumlah itu meningkat menjadi 30,118 orang sepanjang Ogos, manakala hingga pertengahan bulan ini seramai 19,655 orang dimasukkan ke dalam wad.- Utusan