Keadaan Jerebu Di Johor Sedikit Sebanyak Jejas Perniagaan

JOHOR BAHARU, 30 Sept — Keadaan jerebu yang berterusan di bandar raya ini sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan apabila orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan aktiviti di luar rumah.

image-3Tinjauan Bernama di beberapa lokasi perniagaan, medan selera dan pasar raya mendapati tidak ramai yang mengunjunginya berikutan kebanyakan orang memilih tinggal di rumah.

Seorang pekerja kedai serbaneka di Taman Pelangi di sini, Nurazana Fadhilah, 18, berkata jerebu sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan kerana tidak ramai yang datang membeli barang, berbanding sebelum ini.

“Kita boleh nampak tidak ramai yang datang, ramai yang memilih untuk tidak keluar rumah dan yang datang pun akan mencari topeng penutup muka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga di medan selera Taman Suria di sini, Mohd Yasin Yusuf, 60, berkata perniagaannya terjejas kira-kira 40 peratus akibat jerebu yang melanda sejak awal Ogos lepas.

“Sejak jerebu melanda, pelanggan jarang datang ke sini untuk makan, saya risau sebab ianya sangat menjejaskan perniagaan ditambah pula dengan keadaan ekonomi kita sekarang.

“Pelanggan yang datang hanyalah pekerja sekitar pasar raya yang berdekatan sahaja,” katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi di negeri ini dicatatkan di Pasir Gudang dengan bacaan 121, diikuti Muar 114, Larkin Lama 113 dan Kota Tinggi 91.

– Bernama