Agenda Rampas Johor bagi Capai Matlamat Ke Putrajaya – Razali

MUAR, 30 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, hasrat pembangkang mahu merampas Johor sebenarnya adalah satu platform untuk mereka ke Putrajaya.

Jelasnya, pembangkang sedar mereka tidak boleh ke Putrajaya dengan kerusi sedia ada maka mereka harus merampas negeri yang menjadi kekuatan Barisan Nasional (BN) iaitu Johor bagi merealisasikan impian menawan Putrajaya.

20151001091509“Perkara ini bukanlah menjadi rahsia lagi. Kerana itulah mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada Johor bagi mencapai matlamat tersebut. Tetapi saya ingin bertanya kepada mereka.. kerusi yang mereka dah dapat dah jaga dengan betul ke… Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

“Maka kita di Johor pula harus terus bekerja kuat demi mempertahankan UMNO di sini. Kita kena terima hakikat sempurna itu sifat Allah, kita manusia tidak ada yang sempurna tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk meraih kembali keyakinan rakyat dan memperlihatkan bahawa UMNO dan BN sebenarnya ikhlas dan telahpun terbukti dalam menjaga Negara dan kebajikan rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Razali yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Muar, beliau telah dimaklumkan bahawa hampir 400 program telah dibuat oleh pembangkang dalam negeri Johor sepanjang tahun ini sekaligus menunjukkan kesungguhan mereka untuk merampas negeri kubu kuat UMNO.

Namun ini sedikitpun tidak menggugat jentera parti untuk terus mengatur langkah memperkasakan UMNO dan mendekati rakyat apatahlagi bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.