IRDA Muktamadkan Rundingan Dengan 3 Operator Taman Tema

JOHOR BAHARU, 29 Sept — Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar  (IRDA) menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan akhir tahun ini dengan sekurang-kurangnya tiga operator taman tema untuk membuka taman masing-masing di sini.

Tanpa menyatakan jumlah pelaburan, Ketua Eksekutifnya Datuk Ismail Ibrahim berkata projek berkenaan merupakan sebahagian daripada RM30 bilion sasaran pelaburan yang ditetapkan tahun ini.

ismail-ibrahim-iskandar-development-b6“Kini Iskandar Malaysia sudah mencapai 48 peratus daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2015, dan kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencecah  sasaran RM30 bilion komitmen pelaburan menjelang akhir tahun,” katanya kepada
pemberita selepas perasmian forum ‘Invest Iskandar Malaysia’ anjuran IRDA di sini hari ini.

Ismail berkata operator taman tema itu masing-masing dari Jepun, Amerika Utara, Eropah dan Australia.

“Negara-negara ini lazimnya dikaitkan dengan taman-taman tema bertaraf antarabangsa. Bila bercakap mengenai taman tema, ia bukan sahaja melibatkan taman tema di luar bangunan, malah turut membabitkan taman tema di dalam
bangunan,” katanya.

Selain itu, IRDA juga sedang mengenal pasti lebih banyak operator hotel untuk membuka hotel lima dan enam bintang selain menganjurkan lebih banyak mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran di sini, kata Ismail.

Ditanya mengenai cabaran yang diharungi Iskandar Malaysia berikutan pengukuhan dolar Singapura berbanding ringgit, beliau berkata portfolio pelbagai pelaburan dapat menampung impak itu.

“Walaupun kami mempunyai sembilan sektor ekonomi, kami tidak bergantung kepada satu atau dua. Secara keseluruhannya, walaupun mungkin terjejas akibat minyak dan gas, yang merupakan antara sektor yang kami promosikan, namun pada puratanya ada sektor lain yang akan meningkatkan purata itu, kembali ke paras tujuh hingga lapan peratus,” katanya.

Forum sehari itu berlangsung di Persada Johor International Convention Centre itu dihadiri 500 peserta tempatan dan luar negara, termasuk syarikat pelaburan tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.