Sarawak, Johor Bakal Kerjasama Untuk Tambah Baik Program Kebajikan Remaja Hamil

JOHOR BAHARU, 28 Sept — Sarawak mahu bekerjasama dengan Johor dalam menambah baik program kebajikan ke arah usaha membela dan menjaga kebajikan remaja yang hamil luar nikah.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata dengan adanya kerjasama seperti ini, usaha bersepadu dapat dibuat bagi memastikan kebajikan kanak-kanak terutamanya remaja terbabit terpelihara.

df95Beliau berkata sebagai contoh, mencari jalan untuk memendekkan tempoh memohon kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang terbuang, sering menjadi cabaran utama bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Sarawak dan Johor sudah sepakat untuk bawa isu ini (kewarganegaraan) kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat mempercepatkan untuk mengiktiraf kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang terbuang,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Baby Hatch Project di sini hari ini.

Fatimah berkata pada umumnya, bayi atau kanak-kanak yang ditinggal digelar sebagai ‘stateless’ dan terpaksa melalui proses yang lama untuk mendapatkan kewarganegaraan, mungkin melebihi empat tahun.

“Tempoh yang ideal bagi kanak-kanak ini untuk mendapatkan kewarganegaraan adalah dalam masa setahun hingga dua tahun bagi memastikan kanak-kanak ini atau ibu bapa angkat dapat menerima bantuan sebetulnya,” kata beliau.

Selain itu, katanya usaha meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya pencegahan remaja hamil turut dipertingkatkan di peringkat sekolah.

Fatimah berkata setiap tahun, sekitar 16,000 hingga 18,000 remaja dilaporkan hamil dan ini merupakan antara 3.5 hingga 4.1 peratus daripada jumlah kehamilan di seluruh Malaysia.

Sarawak merupakan negeri yang menyumbang kepada jumlah remaja hamil tertinggi selepas Sabah dengan antara 3,500 hingga 4,000 kehamilan remaja dilaporkan.

Fatimah kini mengetuai delegasi dari Sarawak melibatkan 23 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan Sarawak dalam rangka kerja lawatan empat hari ke Johor dan Melaka.