Jerebu: UTM Tangguh Semua Kelas Selasa

JOHOR BAHARU, 28 Sept  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menangguhkan semua kelas di UTM Johor Baharu esok berikutan jerebu di negeri itu telah mencapai Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Sehingga 5 petang ini, Larkin Lama merekodkan bacaan IPU 116 manakala Pasir Gudang mencatatkan bacaan 115, kedua-duanya terletak di bawah kategori tidak sihat.

Jerebu-Johor-HiwayDalam satu pengumuman yang disiarkan di akaun rasmi Facebook universiti itu, UTM berkata penangguhan itu terpakai kepada semua pelajar dan kakitangan UTM Johor Baharu.

“Bagaimanapun, program khas dan khusus seperti memorandum persefahaman perlu diteruskan dengan berhati-hati. Kakitangan terlibat dalam acara khas berkenaan perlu hadir dan boleh digantikan sebagai cuti tanpa rekod,” kata universiti itu.

Pada masa ini, Pengurusan UTM Johor Baharu sedang memantau situasi jerebu yang memberi kesan kepada komuniti kampus dan semua kakitangan serta pelajar dinasihatkan untuk mematuhi langkah berjaga-jaga yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar berkaitan jerebu.

Universiti itu berkata kelas akan dibuka semula pada Rabu, 30 Sept.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday berkata penutupan sekolah esok di negeri itu melibatkan 1,178 buah sekolah yang menempatkan seramai 618,326 orang murid.

Beliau berkata pembukaan sekolah pada hari berikutnya, 30 Sept, adalah bergantung kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara yang akan diumumkan petang esok.

“Saya juga mengarahkan semua sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah swasta untuk menutup sekolah pada hari esok,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.