APMM Tingkat Usaha Pelihara Keselamatan Perairan Untuk Banteras Rompakan Kapal

JOHOR BAHARU, 28 Sept — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melipatgandakan usaha meningkatkan tahap keselamatan perairan negara bagi memberi keyakinan kepada syarikat perkapalan tempatan mahupun antarabangsa yang melalui perairan Malaysia.

Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shahlan berkata antara usaha yang diambil termasuk kerjasama dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) melalui Program Sahabat Maritim.

esszone“Ia sebagai platform perkongsian maklumat dan pertukaran pendapat serta mengeratkan kerjasama di antara APMM dengan komuniti setempat termasuk nelayan,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Sahabat Maritim di sini hari ini.

Program tersebut, yang dimulakan sejak tahun 2007 antara pelbagai agensi, turut diperluaskan kepada syarikat perkapalan tempatan dan juga antarabangsa tahun ini.

Pada tahun lepas, sebanyak 15 kes telah dilaporkan dan tahun ini sahaja, lapan kes rompakan yang melibatkan pencurian minyak terutamanya diesel termasuk kapal Orkim Harmony awal tahun ini.

“Diesel terus menjadi sasaran utama berikutan minyak diesel senang dikendalikan. Ia boleh dipindah terus ke kapal serta mempunyai pasaran yang luas berbanding minyak petrol,” katanya.

Sebanyak 93,000 kapal melalui laluan perkapalan strategik sekitar perairan koridor Maritim Selatan yang merupakan sebahagian laluan perkapalan Selat Melaka dan Laut Cina Selatan dalam setahun.

Sementara itu, mengulas tentang tongkang pasir yang hanyut melanggar Jambatan Batu Pahat pagi semalam, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh membahayakan keselamatan orang awam.

“Sepatutnya, kapal-kapal tidak boleh ditambat di pokok-pokok, ia mesti ada jeti sendiri. Kita sudah banyak kali utarakan perkara ini, namun kita tidak ada kuasa ke atas kes ini sebab kejadian berlaku di sungai, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” kata beliau.