Jerebu Tidak Jejaskan Aktiviti Seharian Di Johor Bahru

JOHOR BAHARU, 26 Sept — Keadaan berjerebu yang teruk sejak Khamis lepas tidak menjejaskan aktiviti harian warga bandar di sini.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat termasuk pasar basah dan Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini pagi tadi mendapati sebahagian besar masyarakat termasuk warga asing yang bekerja di sini memilih untuk menjalankan aktiviti seperti biasa.

Jerebu-Johor-HiwayCuma, bagi sesetengah pihak seperti golongan muda, mereka tidak gemar untuk keluar rumah kerana menggangap jerebu boleh menjejaskan kesihatan.

Seorang pemandu bas, Zul Ghafar Mohd Tarini, 33, berkata dia bekerja seperti biasa hari ini walaupun terpaksa lebih berhati-hati ketika membawa kenderaan.

“Kalau dibanding siang, jerebu pada waktu malam lagi teruk. Saya terpaksa pakai topeng muka dan mengehadkan kelajuan kerana khuatir insiden buruk berlaku,” katanya.

Bagi pemborong sayur Zakaria Hasan,60, pula bersyukur perniagaannya tetap laris meskipun orang ramai mengehadkan kekerapan untuk keluar dari rumah akibat jerebu.

“Saya kira jerebu hanya bersifat sementara, jadi orang ramai hendak tidak hendak perlulah juga keluar membeli belah.
Disebabkan itu, perniagaan saya sedikit pun tidak terjejas,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Berlainan dengan seorang pelajar, Nur Alina Hassan,23, dia menyifatkan jerebu telah menjejaskan aktiviti luar bersama rakan-rakan selain mengakibatkannya mengalami sakit tekak dan batuk.

“Dengan cuaca begini, saya tidak selesa pergi ke mana-mana. Malah, jikalau tiada perkara penting, saya memang elak untuk keluar (rumah),” katanya.

Setakat pukul 4 petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat di kawasan Larkin Lama adalah 104, Pasir Gudang 105 dan Muar 77 dan Kota Tinggi 73.

Keadaan ini berbeza berbanding semalam dengan bacaan IPU di Larkin Lama (190), Pasir Gudang (194) dan Kota Tinggi (129).

 

– Bernama