Tiga Kawasan Di Johor Catat Bacaan IPU Tidak Sihat Setakat 3 Petang

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Jerebu di tiga kawasan di Johor bertambah buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 3 petang ini.

Jerebu-Johor-HiwayLaman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Pasir Gudang mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 133, diikuti Larkin Lama (126) dan Kota Tinggi (104).

Selain Johor, bacaan IPU di Balok Baru, Pahang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 108 berbanding bacaan IPU sederhana 93 yang dicatatkan pada pagi tadi.

Samarahan, Sarawak yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat 108 pada pagi tadi berubah kepada bacaan sederhana 93.

Sebanyak 39 kawasan lain turut mencatatkan bacaan IPU sederhana antaranya Indera Mahkota, Pahang (100), Sarikei, Sarawak (89), Kemaman, Terengganu (96), Banting, Selangor (86), Shah Alam, Selangor (87), Batu Muda, Kuala Lumpur (87), Putrajaya (86) dan Bandaraya Melaka (83).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.