Seramai 21 Lelaki Terlibat Kes Curi Kenderaan Di Johor Baharu, Nusajaya Ditahan

JOHOR BAHARU, 23 Sept — Polis berjaya menahan 21 lelaki yang dipercayai terlibat dalam enam kes curi kenderaan di sekitar daerah ini dan kawasan Wilayah Iskandar, Nusajaya sejak awal tahun ini.

12036820_457183021154065_1067051498270446636_nKetua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata kesemua mereka yang berumur 14 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di daerah ini pada 15 Sept lepas.

Katanya, hasil serbuan itu, polis turut merampas 20 kenderaan terdiri daripada 15 motosikal dan lima kereta pelbagai jenis yang disyaki dicuri.

“Suspek menyasarkan kereta lama yang penggera keselamatannya rosak dan selepas itu komponennya dileraikan untuk dijual,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, suspek yang aktif sejak awal tahun bergerak dalam kumpulan berasingan dengan seorang daripadanya turut didapati memiliki beberapa rekod jenayah lampau berhubung kes samun dan dadah.

Beliau berkata, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana polis ingin mengesan saki baki kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, polis turut berjaya menyelesaikan satu kes ugut melibatkan Ah Long dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan berusia 17 hingga 32 tahun, di sini baru-baru ini.

“Kami menangkap kesemua suspek berdasarkan bahan bukti termasuk lapan unit telefon bimbit milik mereka,” kata Sulaiman.

Suspek sebelum itu dikatakan mengambil gambar seorang peniaga wanita berusia 47 tahun selepas dia ditelanjangkan di sebuah rumah teres di Taman Sri Tebrau, di sini.

Suspek kemudian mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar berkenaan sekiranya gagal membayar hutang berjumlah RM7,000.

“Mangsa telah membuat pinjaman RM2,000 dengan suspek dua tahun lalu dan kemudian diminta membayar faedah pinjaman tinggi sedangkan wang diterima ketika itu hanyalah berjumlah RM1,700 selepas ditolak caj pemprosesan pinjaman,” kata Sulaiman.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 20 tahun dan dikenakan sebatan.