Hotel KPMNJ di Jalan Ayer Molek siap 2018

JOHOR BAHRU 22 Sept. – Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) bakal membangunkan Hotel KPMNJ yang patuh syariah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 juta di Jalan Ayer Molek di sini.

imagePengerusinya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, hotel setinggi lapan tingkat dan bertaraf tiga bintang itu akan dibangunkan di atas tanas seluas 0.752 hektar bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2018.

Menurutnya, hotel yang bakal menyediakan 116 buah bilik itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya restoran, gimnasium dan tempat letak kereta selain lokasi yang strategik terletak di pusat bandar raya ini.

“Bagi merealisasikan pembinaan hotel tersebut, KPMNJ turut menerima bantuan kewangan daripada Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) melalui Dana Mudahcara bernilai RM3.34 juta bagi membiyai sebahagian kos projek.

“Dengan projek itu, KPMNJ ini bersedia untuk memperluaskan keupayaan kami dalam bidang lain seperti perkhidmatan dan pelancongan sekali gus diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Hotel KPMNJ dan Penyampaian Dana Mudahcara Teraju yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di tapak projek di Jalan Ayer Molek di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh dan Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan cek replika bernilai RM3.34 juta yang diberikan menerusi Dana Mudahcara Teraju oleh Husni kepada Mohamad Ali bagi membiayai sebahagian kos projek.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri menyambut baik pembinaan hotel oleh KPMNJ di dalam kawasan Iskandar Malaysia sekali gus diharap dapat membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk menjadikan Johor sebagai pusat tumpuan penganjuran seminar, pameran dan persidangan baik untuk peringkat negara mahu pun antarabangsa dan sudah tentu keperluan hotel itu diperlukan,” katanya.

– Utusan