Pengislahan UMNO Johor Kukuh Parti, Sokong Presiden – Khaled

MUAR, 20 Sept — Pengislahan UMNO Johor bagi mengukuhkan lagi parti itu adalah bukti sokongan negeri ini kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

12019954_1659909470923060_8766149492264878122_nPengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai permulaan, usaha mengislahkan UMNO Johor akan melibatkan  kepimpinan parti dan anggotanya dari kalangan profesional dan graduan.

Beliau berkata dengan pelancaran badan pemikir UMNO Johor, Bait Al-Amanah, pelbagai usaha mengislahkan UMNO Johor akan dibincangkan sebelum dibentang pada Konvensyen UMNO.

“Inilah cara Johor untuk menyatakan sokongan terhadap Presiden melalui usaha menguatkan UMNO. Bila UMNO Johor kuat, maka sokongan kita bukan kosong, bukan palsu tapi diterjemahkan dengan memberi kemenangan kepada parti,” katanya pada perasmian bangunan baru UMNO Bahagian Muar oleh Najib di Jalan Meriam di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Muar Datuk Razali Ibrahim, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Mohamed Khaled, yang juga Menteri Besar Johor, berkata cara menyokong Presiden UMNO bukan sahaja dengan melafazkan kesetiaan malah, perlu bersedia untuk berusaha gigih mengukuhkan parti.

“Cara UMNO Johor mendukung Presiden ialah dengan memastikan parti ini kuat, adalah cara yang lebih berhikmah, lebih berpandangan jauh, lebih sistematik, lebih fokus dan berstrategi,” katanya.

Menurutnya dengan kukuhnya UMNO, presiden dapat mengemudi parti dengan baik sekali gus mengukuhkan institusi dan pentabiran negara.