Bangunan Baru UMNO Muar Lambang Kekuatan UMNO Johor

MUAR, 20 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bangunan baru UMNO Bahagian Muar adalah satu simbol kekuatan UMNO di Johor khususnya di Muar.

Ujarnya, bangunan tersebut adalah lambang iltizam pada perjuangan parti dan kerja keras semua ahli UMNO bahagian Muar.

11222625_1659909640923043_9119556701541677878_n“Bangunan ini tidak mungkin terbina tanpa sumbangan ahli dan komitmen semua pihak sehingga berjaya mengumpul dana bagi kos pembinaan.

“Inilah lambang kerja keras dan keyakinan melayu Muar terhadap perjuangan UMNO. Ini juga adalah cermin UMNO Muar dalam mempercayai perjuangan parti setulusnya serta berusaha gigih memperkuatkan parti,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan baru UMNO Bahagian Muar di sini, hari ini.

Tambah beliau, UMNO Johor mempunyai cara tersendiri untuk memperkuatkan parti keramat UMNO dengan memberi kemenangan kepada parti khususnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kami akan terus bersetia kepada presiden parti dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memperkuatkan parti sekaligus membuktikan kepada pembangkang niat mereka untuk menawan Johor hanyalah mimpi di siang hari.

“Maka, berilah kepercayaan kepada kami untuk menunjukkan kesetiaan dengan cara kami,” tambahnya lagi.

Pada majlis tersebut, Presiden parti yang juga merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah merasmikan bangunan baru yang menjadi kebanggaan semua ahli UMNO Muar.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim.