Pilih pemimpin secara rasional – Khaled

JOHOR BAHRU 19 Sept. – Rakyat digesa bersikap sederhana dan rasional dalam memilih pemimpin dan bukannya berasaskan kepada sentimen semata-mata sehingga boleh membawa kepada perpecahan kaum di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kecenderungan rakyat yang hanya memilih pemimpin dalam kalangan kaum mereka sendiri sahaja boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara.

image-4Beliau berkata, keputusan Pilih­an Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang berasaskan kepada kaum tertentu memberi kesan negatif antaranya perhimpunan di ibu negara baru-baru ini yang dimonopoli kaum-kaum tertentu.

“Apa yang berlaku pada PRU-13 lalu akhirnya membawa ke arah ini (perhimpunan). Kita mahu rakyat bersikap sederhana serta rasional dan pastikan kerajaan yang hendak diwujudkan berkesan dan mampu memberi kemajuan kepada rakyat.

“Adalah wajar supaya semua masyarakat bekerjasama dan undi pada asas yang bukan berasaskan kaum. Apabila kita dapati PRU-13 terdapat kecenderungan satu kaum undi hanya undi satu kaum, ini adalah sebahagian daripada kesannya,” katanya ketika diminta me­ngulas mengenai beberapa perhimpunan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pasar Borneo di Taman Megah Ria di sini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Datuk Paul Igai.

Mohamed Khaled berkata, perkembangan semasa yang berlaku di negara ini termasuk perhimpunan tersebut bukan sahaja tidak baik untuk negara ini malah boleh membawa kepada isu perkauman.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2016 ne- geri ini yang akan dibentangkan November ini, beliau berkata, kerajaan negeri akan beri tumpuan kepada kesejahteraan hidup rakyat.

“Bajet yang turut mengambil hasil daripada Suara Hati Johor itu antara lain memberi penekanan dalam soal transformasi masyarakat luar bandar, pemba­ngunan inklusif dan kebajikan hidup rakyat,” katanya.- Utusan