Kerajaan Tidak Berkompromi Dalam Perihal Keselamatan – PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancamnya, termasuk tindakan menggugat sensitiviti kaum lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

najib-tun-razak-e1442564152631Perdana Menteri berkata mana-mana pihak, baik daripada peserta perhimpunan Bersih mahupun dari kumpulan “Baju Merah”, yang melanggar arahan pihak berkuasa, pastinya akan dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Kerajaan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana bagi saya ia adalah penting untuk memberikan ruang kepada rakyat untuk bersuara.

“Jika tidak diberikan ruang ini, mereka akan mencari jalan lain untuk menyuarakan pendapat mereka,” katanya.

Najib berkata demikian dalam laman twitter dan blognya, najibrazak.com, bertajuk “Kerajaan tidak akan berkompromi dengan hal keselamatan” hari ini.

Perdana Menteri turut turut memuatkan petikan rakaman audio beliau di blognya yang berdurasi selama dua minit.

Najib berkata perhimpunan Bersih telah diharamkan kerana objektif mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan di samping berdemonstrasi berhampiran tempat persiapan perarakan Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun, perhimpunan berkenaan tetap diteruskan tanpa sekatan pihak berkuasa, katanya.

Najib berkata pada masa yang sama, ada pula yang mempersoalkan keputusan pihak berkuasa membenarkan kumpulan “Baju Merah” berhimpun.

“Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kebenaran diberikan kerana pertama, mereka tidak berniat menjatuhkan Kerajaan dan kedua, tiada persiapan perarakan berlangsung di tempat mereka mahu berdemonstrasi dan ketiga, mereka telah mendapat kebenaran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

“Sebab itulah apabila mereka menceroboh kawasan larangan, pihak berkuasa telah bertindak menyuraikan mereka walaupun terpaksa menggunakan meriam air,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata polis juga sedang menyiasat mereka yang terlibat mencetuskan unsur perkauman dan sesiapa yang bersalah tetap akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Himpunan Rakyat Bersatu” dengan memakai baju merah berlangsung di Padang Merbok di ibu negara pada Rabu lalu, diterajui Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) yang dianjurkan sebagai tindak balas membantah perhimpunan Bersih 4 di kawasan sekitar Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas.