JDT Teruskan Rentak Kemenangan

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menang tipis 3-2 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tiga gol skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Marcos Antonio pada minit kelapan, Mahalli Jasuli (26′) dan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-51.

11228905_526601900836447_6427063166501614927_nATM bangkit merapatkan defisit jaringan menerusi dua sepakan penalti yang disempurnakan oleh dua pemain import iaitu Abdulafees Abdulsalam pada minit ke-67 dan Jerry Palacios pada minit ke-90.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan Perak meraih kemenangan sulung dalam satu lagi aksi kumpulan B selepas mengalahkan Sarawak 1-0 hasil jaringan tunggal Bobby Gonzales pada minit ke-63.

Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor turut mencipta kemenangan sulung dalam aksi kumpulan C selepas menang tipis 1-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol tunggal Selangor dijaringkan oleh pemain import, Guilherme De Paula pada minit ke-50.

Dalam pada itu, tandukan pemain pertahanan Lions XII, Safuwan Baharudin pada masa kecederaan babak kedua perlawanan membantu skuad muda negara Seberang Tambak itu menundukkan JDT II 2-1 pada aksi tunggal kumpulan A di Stadium Majlis
Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Terdahulu, kedua-dua pasukan seri 1-1 dengan Safuwan meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-22 sebelum penyerang import dari Argentina, Nicolas Delmonte menyamakan kedudukan untuk JDT II menerusi sepakan penalti pada
minit ke-72.