Desa Impian Inisiatif Elak Anak Muda Hijrah Di Tenggara

KOTA TINGGI 17 Sept. – Perancangan pembangunan yang dilakukan di Desa Impian, Bandar Tenggara dekat sini, dilihat sebagai harapan baharu buat generasi muda di kawasan ini agar terus bermaustatin dan tidak berhijrah.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, majlis penyempurnaan fasa satu perumahan itu menjadikan projek tersebut sebagai satu harapan pembangunan berterusan untuk kawasan Bandar Tenggara.

image-2“Sebagai wakil rakyat kami akan susun rancangan pembangunan di kawasan sini mengikut kepada ke­perluan masyarakat khususnya bagi golongan muda. Kita mahu cipta harapan baharu agar memberi tempat kepada golongan muda supaya dapat tinggal dan bekerja dengan peluang yang ada di sini.

“Pembangunan, perubahan dan kehidupan sempura adalah apa yang dimahukan rakyat dalam usaha membangun masa depan cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyempurnaan Fasa 1 Desa Impian, Bandar Tenggara, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki; Pengerusi Golden Envoy Sdn. Bhd. dan Reliance Pacific Berhad, Tan Sri Dr. Samsudin Hitam; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Norazman Othman.

Halimah yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyerahkan kunci kepada pembeli unit kediaman di perumahan jenis teres yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air itu.

Menurutnya, peranan membawa pembangunan terletak di bahu wakil rakyat, namun ia memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuklah pihak swasta untuk merealisasikan harapan generasi muda di sini.

“Kita juga yakin pembangunan ini serta apa yang sedang kita rancangkan akan memajukan Bandar Tenggara menjadi sebagai kawasan bandar baharu dengan tujuh kawasan Felda berhampiran,” katanya.