RM106 Juta Biayai Projek Tebatan Banjir

LEDANG 16 Sept. – Sebanyak RM106 juta diperuntukkan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Ledang yang mampu mengurangkan sehingga 60 peratus risiko banjir di daerah ini.

imageAhli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, projek berkenaan melibatkan tiga fasa dengan jumlah keseluruhan kawasan seluas kira-kira 36 kilome­ter dengan fasa pertama melibatkan kerja-kerja membina pintasan banjir, pintu kawalan pasang surut dan kerja-kerja berkaitan.

“Ketika ini kerja-kerja untuk fasa pertama sedang dilakukan dan sudahpun siap kira-kira 50 pe­ratus sejak dimulakan pada Oktober 2013 yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Bahagian ini melibatkan kos RM30 juta. Selain membina pintasan air sungai sepanjang 500 meter, kawasan sungai berdekatan laut akan dilebarkan menjadi 50 meter berbanding 20 meter sekarang serta diperdalamkan menjadi enam meter berbanding empat meter,” katanya selepas melawat tapak Projek Membina Pintasan Banjir, Pintu Kawalan Pasang Surut dan Kerja-kerja RTB Lembangan Sungai Kesang, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, Datuk M. Asojan dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah, Nurliza Zakaria.

Hamim berkata, fasa kedua melibatkan pembekalan 10 set pam bergerak, manakala fasa ke­tiga adalah kerja-kerja tebatan ban­jir sepanjang Sungai Kesang di hulu pintasan tersebut sehingga Sungai Cohong dan Sungai Tangkak.

Tender bagi fasa kedua telah dikeluarkan, manakala bagi fasa ketiga akan dibuat tidak lama lagi, katanya sambil memaklumkan projek tersebut dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke­sepuluh (RMK-10) serta projek terbesar di daerah ini.

“Dengan adanya pintasan ini, aliran air sungai menjadi lebih lancar dan limpahan air yang banyak akibat hujan lebat berterusan akan dibawa terus ke laut bagi mengelak kejadian banjir,” katanya.

Beliau yakin apabila projek itu siap nanti dapat menyelesaikan masalah banjir di daerah ini, khususnya melibatkan Kampung Seri Makmor, Kampung Tanjung Labuh, Kampung Sialang, Kampung Seberang Gajah, Kampung Kudang Teluk Rimba, Kampung Paya Kepong, Kampung Kesang dan Kampung Parit Haji Dahalan.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/rm106-juta-biayai-projek-tebatan-banjir-1.136695#sthash.ZavtDvBP.dpuf