Pembenihan Awan Hujung Bulan Ini

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri berharap operasi pembenihan awan yang dijadualkan hujung bulan ini, dapat menstabilkan paras air di Empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam.

Khalid_NordinMenteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu juga diharapkan dapat menyelesaikan isu bekalan air di Johor.

Menurutnya, operasi berkenaan penting bagi memulihkan bekalan air yang meruncing khususnya membabitkan hampir keseluruhan Pasir Gudang dan sebahagian daripada bandar raya Johor Bahru.

“Saya berharap orang ramai yang terbabit dengan penjadualan bekalan air di kawasan terbabit supaya sentiasa menggunakan bekalan air yang ada dengan berhemah.

“Diharapkan operasi pembenihan awan itu kelak membolehkan hujan di kawasan-kawasan tadahan air terbabit dan mengembalikan kestabilan paras air,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, sistem penjadualan bekalan air yang dijalankan oleh Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) sejak lebih sebulan lalu, telah dapat memanjangkan tempoh bekalan air di empangan-empangan terbabit.

Beliau berkata, bagaimanapun bekalan air itu masih perlu dikawalselia pada tahap berjaga-jaga berikutan taburan hujan yang tidak menentu serta ia tidak turun di kawasan-kawasan tadahan air.

“Sumber bekalan air mentah di Sungai Johor juga perlu ditambah bagi memastikan kestabilan bekalan air.

“Bagi tujuan itu, SAJ dijangka melaksanakan kerja-kerja pemindahan air dari Sungai Tiram ke Sungai Johor, 1 Oktober ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji langkah menghentikan buat sementara sistem penjadualan bekalan air selama tiga hari, iaitu pada 23, 24 dan 25 September ini.

“Ia bagi membolehkan rakyat menyambut cuti Aidil Adha dan cuti persekolahan dengan lebih selesa.