Piala Malaysia: JDT Buka Kempen Dengan Kemenangan 2-0 Ke Atas Perak

JOHOR BAHARU, 11 Sept  — Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Piala Malaysia 2015 dengan langkah kanan apabila mengalahkan Perak 2-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini malam tadi.

12004883_523004261196211_4219993333572284860_nMeskipun turun tanpa kapten dan pemain tengah Safiq Rahim, barisan pemain JDT masih mampu menampilkan corak permainan kemas untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Kedua-dua gol JDT pada perlawanan tunggal Piala Malaysia malam ini dijaringkan pada babak pertama menerusi Mohd Safee Sali pada minit ke-17 dan S.Chanturu pada minit ke-21.

Safee berjaya menceriakan ribuan peminat tuan rumah apabila membuka jaringan selepas menyudah hantaran Chanturu manakala Chanturu pula melakukan sepakan lintang selepas menerima hantaran Mahalli Jasuli.

Tersentak dengan dua gol pada awal perlawanan, skuad Perak, kendalian Vjeran Simunic, bangkit untuk mengurangkan defisit namun percubaan Charles Souza Chad pada minit ke-28 tersasar ke tepi tiang gol.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat dihukum untuk bermain dengan 10 pemain apabila Mohd Hisyamudin Mohd mengasari Gary Steven Robbat pada minit ke-89.

Tindakan itu mengakibatkan pengadil Syed Azhar Syed Kamar terpaksa melayangkan kad merah terhadap Mohd Hisyamudin yang sebelum itu menerima kad kuning pada babak pertama perlawanan kerana menahan bola dengan tangan.

Selepas ini, JDT akan beraksi dalam dua perlawanan di tempat lawan iaitu menentang pasukan ATM di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan pada 19 Sept dan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, 26 Sept ini.