UMNO Terus Fokus Selesaikan Masalah Rakyat, Tangani Isu-isu Semasa Dengan Berkesan

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UMNO akan terus memberi fokus kepada pembelaan rakyat sejajar dengan parti yang menunjangi kerajaan.

Menurut beliau soal gerak kerja untuk rakyat khususnya menyelesaikan masalah yang dihadapai mereka adalah perkara utama selain usaha-usaha untuk membangunkan negara ini.

“Apa yang dikatakan sebagai dekat dihati rakyat kita hendaklah kita beri fokus termasuklah bajet pada masa akan datang dan saya harap akan dapat cadangan-cadangan yang baik daripada pelbagai pihak untuk dimuatkan dalam belanjawan negara nanti,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain Datuk Seri Najib yang juga Perdana Menteri berkata Majlis tertinggi parti telah mengambil maklum beberapa perkara yang perlu ditangani dengan berkesan dan memberi kepuasan kepada rakyat termasuk 1MDB.

“Saya telah memberi penjelasan tentang kedudukan semasa dan kita dalam edah enam bulan dan saya telah mohon untuk kita letakkan 1MDB dari segi untuk mengurangkan hutangnya dan selesaikan beberapa perkara tentang proses rasionalisasi yang perlu kita laksanakan.

“Pada masa ini kita telah dapat tawaran-tawaran yang menggalakkan dan saya tidak boleh malumkan pada masa ini dan apabila dah selesai nanti kita akan buat pengumuman rasmi,” ujarnya.

Berhubung dana politik, Najib turut memberitahu bahawa Majlis Tertinggi turut mengambil maklum bahawa tidak ada undang-undang yang diterima pakai pada masa kini berhubung sumbangan politik

“Dan keduanya tidak ada keperluan untuk membuat pendedahan dari segi undang-undang dan ketiganya MT ambil maklum semua parti politik mengamalkan sumbangan dan kutipan dana termasuklah pembangkang.

“Malah apabila Bersih 4 kutip duit untuk dana Bersih 4, mereka enggan untuk dedahkan daripada sumber mana. Maknanya apabila sampai kepada mereka sendiri, tidak tuntut ditunaikan namun apabila sampai kepada kita (UMNO/BN) macam-macam persoalan ditimbulkan.

“Sebab itulah kita telah ajukan supaya diadakan satu kaedah perundangan mengenai sumbangan dana politik. Saya sendiri telah mencadangkan perkara ini empat tahun dulu tetapi tidak dipersetujui oleh parti pembangkang. Saya harap pada masa akan datang kita boleh gubal satu peraturan yang berasaskan kepada undang-undang supaya kita akan dapat mengawal dana dan sumbangan politik ini,“ katanya.-MediaUMNO